5:21 pm - Friday December 9, 2016

Rasa Bersalah Kerana Islam

aimanraul

RASA BERSALAH KERANA ISLAM
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Jika kita menonton berita di seluruh dunia, apatahlagi di Barat ini, kelihatan Islam seolah agama yang teramat bermasalah. Negara-negara umat Islam tidak habis-habis dengan krisis, orang Islam pulak dikaitkan dengan kegiatan keganasan di sana-sini. Tiada satu hari rasanya yang tiada berita yang menggambarkan keburukan umat Islam. Maka, janganlah hairan jika ada muslim di Barat ini terasa berat untuk mengaku muslim.

Maka mengkagumkan saya, wanita-wanita muslimah yang terus berhijab ketika berada di Barat ini. Mereka ini tanpa memperkenalkan diri pasti diketahui bahawa mereka muslimah. Mereka tidak apologetic dengan Islam mereka.

Lebih mengkagumkan lagi kumpulan-kumpulan dakwah yang giat berdakwah kepada Islam untuk masyarakat di sini. Hampir setiap minggu saya ke Speakers’ Corner di Hyde Park London, saya lihat kesungguhan berkempen kepada Islam oleh ramai muslim di sini. Demikian juga banyak kegiatan dakwah orang muslim di sana sini di London ini. Program-program masjid juga agak aktif. Mereka yang bersungguh ini kebanyakannya orang biasa, bukan ilmuwan besar tapi ada kesungguhan yang besar. Tiada gaji khusus untuk dakwah, tapi ada semangat yang khusus untuk dakwah dalam suasana yang seperti ini.

Apologetic Feeling

‘Apologetic feeling’ muncul dalam perasaan muslim dalam era ini setelah media massa menguasai pemikiran manusia yang menggambarkan keburukan Islam. Apologetic syndrome ini makin mudah menjalar terutama yang hidup di tengah-tengah masyarakat Barat. Justeru saya kagum dengan Sayeeda Warsi wanita muslim pertama dalam cabinet UK yang meletakkan jawatan kerana tidak puas hati terhadap sikap David Cameron mengenai isu Gaza. Sedangkan dalam negara orang muslim ada yang menggelar diri ulama dan ahli politik bukan sahaja takut membantah Israel sebaliknya membantah orang yang memboikot barangan Israel.

Saya membaca berita Malaysia tentang seorang melayu yang mati terkorban berjuang di Syria. Saya tidak kenal dan tidak tahu siapa beliau itu. Saya baca wawancara media dengan beliau. Nampak macam menarik. Maka, saya tidak berani mengulas. Apakah beliau bersama dengan kumpulan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa ataupun beliau memang memerangi mereka yang kejam dan zalim terhadap wanita, kanak-kanak, orang tua dan masyarakat awam yang tidak bersalah. Tersalah ulas kita berdosa dengannya dan dihukum oleh Allah jika dia memang ikhlas dan benar. Sesiapa yang menghina orang baik yang mati, apatahlagi kekasih Allah pasti akan menerima hukuman Allah di dunia dan di akhirat.

Syahid

Saya lihat ada pihak yang memakai topi agama begitu pantas mengulas. Ada yang kata dia ‘mati katak’. Ada yang kata tempatnya dalam neraka. Sama sekali dia bukan syahid. Begitu pantas hukumannya. Saya teringat semasa tragedi MH17 baru-baru, kelompok agamawan ini juga dengan jelas menyebut mangsa yang terkorban itu syuhada. Katanya, mereka syahid akhirat kerana kemalangan. Padahal, jika kategori syahid akhirat itu hendak di ‘highlight’kan maka setiap yang kemalangan samada atas jalanraya ataupun selainnya juga syahid. Sabda Nabi s.a.w:

“Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu?”. Jawab para sahabat: “Wahai Rasulullah! Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid”. Jawab baginda: “Kalau begitu, para syuhada umatku sedikit”. Tanya mereka: “Siapakah mereka (syuhada) wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan taun maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid” (Riwayat Muslim).

Maka, sepatutnya kita sebut setiap musim perayaan ‘telah syahid pada musim perayaan ini si fulan bin si fulan’ di lebuhraya sekian dan sekian ketika pulang berhari raya. Memang secara umumnya mereka yang mati kesakitan dan kemalangan mendapat fadilat tertentu. Namun tidaklah disebut sebagai syahid dalam kategori khas yang membabitkan jihad fi sabilillah. Cumanya, sejak sekian lama kemalangan jalanraya di Malaysia, pernahkah kita lihat mereka mengeluarkan kenyataan syahid ini? Maka, kita pun faham, kenyataan golongan agama banyak yang bersifat ‘pasaran semasa’ bagi menunaikan ‘market demand’.

Apabila kita sebut syahid, ataupun makam syuhada seperti yang terdapat di Mutah, Jordan maka dimaksudkan syahid berperang pada jalan Allah. Apologetic feeling ataupun mungkin ‘periuk nasi feeling’ menyebabkan ada yang takut untuk menyatakan pejuang Palestin itu syahid takut kita dilebel sebagai cenderung kepada pengganas. Ini penyakit sesetengah agamawan ‘jawatan berkontrak’.

Terrorism

Kita tidak pernah menyokong keganasan terhadap mereka yang tidak berdosa daripada mana-mana pihak, termasuk yang berjuang atas nama Islam. Namun, mengapakah kita mesti menyimpulkan setiap yang berjuang membela rakyat Syria yang sedang dibunuh secara kejam dan zalim itu sebagai pengganas dan perjuangan mereka sia-sia?! Apakah semua mereka ISIS?

Jika kita tidak berani menyimpulkan dia syahid ataupun tidak, apakah kita perlu menyatakan dia mati sia-sia? Kita pun tidak tahu keadaan mereka yang mati semasa tragedi MH17 baru-baru. Pun secara umum ada yang menyebut syahid. Saya tidak menyimpulkan syahid ataupun tidak pada saudara kita yang terkorban di Syria baru-baru ini. Saya tidak tahu tentang beliau. Namun, kaedah umum sesiapa yang berjuang kerana Allah membela agamanya, membela mereka yang tertindas dan dizalimi, berpandukan cara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w, jika dia terkorban maka dia syahid. Sesiapa yang berjuang untuk hawa nafsunya, menyanggahi jalan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w jika dia terkorban maka dia tidak syahid.

Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):

“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).

Namun di sana ada hadis, kata Abu Hurairah r.a:

“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perjuangan hendaklah mengikut jalan Nabi s.a.w. Jika tidak mengikut jalan Islam, sekalipun berperang atas nama Islam, tidak dikira jihad yang sebenarnya. Apatahlagi jika membunuh mereka yang tidak bersalah. Banyak disiplin medan jihad yang perlu dipatuhi. Pun begitu seseorang mujahid boleh sahaja tersilap. Maklum sahaja di medan perang. Kita yang tidak di medan perang pun tersilap apatah lagi yang di medan. Khalid al-Walid pernah membunuh tawanan perang, Nabi s.a.w membantah beliau. Inikan pula selain Khalid al-Walid. Kesilapan yang bukan kebiasaan tidak menafikan status jihad.

Saya bukan pejuang di medan yang membela rakyat Palestin, Syria dan selain mereka. Saya membantah kumpulan yang berjuang atas nama Islam tetapi mengganas dan membunuh mereka yang tidak bersalah. Namun, saya tahu ada yang memang pergi menolong untuk menyelamatkan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang tertindas. Mereka mungkin tidak ganas ataupun tidak menzalimi pihak lain. Saya tidak mahu mencemari lidah mencerca mereka. Mereka mungkin kekasih Allah, siapalah saya?! Janganlah apologetic feeling membunuh keadilan kita.