5:24 pm - Friday December 9, 2016

Jamal Abdillah: Saya Pun Bergurau, Jangan Hentam Nabil

zaky316

Tidak mahu sesetengah pihak menghentam Nabil Ahmad selaku pengacara Gegar Vaganza baru-baru ini, Jamal Abdillah menyifatkan ramai yang salah sangka terhadap gurauan yang dibalasnya itu.

BACA: Terlalu Serius, Jamal Abdillah Dikritik Peminat Gegar Vaganza

“Jangan terus hentam, Nabil hanya membuat kerja dia iaitu menghiburkan orang. Kita kena faham tugas dia bukan sesuatu yang mudah untuk buat orang ketawa dan terhibur. Dia hanya bergurau dan saya juga membalas kata-kata dia juga dengan gurauan”

“Bagaimanapun, oleh sebab ‘Jamal Abdillah’ ini bergurau dengan wajah yang serius, orang anggap saya marahkan Nabil. Sebenarnya, saya langsung tak marah, malah membalas kata-kata Nabil juga dengan niat untuk bergurau semata-mata”

“Nampaknya, orang kurang faham dengan apa yang saya ‘guraukan’ itu dan membuat tanggapan bahawa saya marahkan Nabil. Saya berharap dengan penjelasan ini, tidak membuatkan orang marahkan Nabil lagi,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Pelbagai reaksi berbaur daripada peminat Nabil dan juga peminat Jamal Abdillah baru-baru ini sepatutnya tidak berpanjangan. Hairan juga kadang-kala tuan empunya badan tenang saja tapi peminat masing-masing macam mahu berperang – tapi di laman sosial sajalah beraninya pun. (rtky/s)