6:00 am - Thursday December 8, 2016

Indeks Glisemik

abaabil

APAKAH INDEKS GLISEMIK (GI)?

“Salam doctor. Apa yang doctor maksudkan sebagai indeks glisemik dalam penulisan doctor di blog?”

 

Indeks Glisemik telah diperkenalkan pada 1981 oleh seorang ahli sains, Dr Jenkins. Ia telah dibentangkan dalam American Journal of Clinical Nutrition dan dijadikan panduan untuk menilai jenis karbohidrat dan kesannya pada paras glukosa darah. Secara tidak langsung  kajian beliau memberikan impak mengenai kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia.

 

Untuk menilai GI dalam satu makanan, ia diberikan nilai antara kosong hingga 100. Nilai kosong ialah apabila makanan tidak meningkatkan paras glukosa dalam darah dan nilai maksimum peningkatan paras glukosa adalah 100.

 

Makanan yang mudah dan cepat hadam dan ditukar menjadi glukosa dalam darah dipanggil GI Tinggi (high glycemic index) apabila nilai GI lebih daripada 70.

 

Makanan lebih lambat menjadi glukosa pula dipanggil GI Rendah (low glycemic index) apabila nilai GI kurang daripada 55.

 

Nilai GI antara 56 hingga 69 pula dipanggil GI Sederhana (medium glycemic index).

 

Dengan adanya panduan seperti ini kita dapat memilih makanan bagi mengurangkan kenaikan gula yang  pantas dalam darah setelah memakan makanan itu.

 

Ini kerana makanan tinggi GI menyebabkan kenaikan cepat paras glukosa dalam darah. Sementara, makanan rendah GI menaikkan paras glukosa dalam darah secara beransur-ansur.

 

Kadar kenaikan paras glukosa yang terlalu tinggi dengan cepat selepas makan harus dielakkan kerana ia memudaratkan kesihatan diri untuk jangka panjang.

 

Kita perlu menstabilkan paras glukosa darah dengan memakan makanan yang mempunyai rendah GI untuk  mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi, sakit jantung, kolesterol tinggi, strok dan kanser.

 

Sebagai kesimpulan,  kita perlu memilih makanan berkarbohidrat dengan nilai GI rendah dan sederhana dalam pemakanan seharian dan perlu mengurangkan makanan mempunyai nilai GI tinggi.

 

Contoh Makanan/ Nilai GI

1. Roti dan Bijirin

• Roti Putih – 78

• Nasi Putih – 77

• Kentang Lenyek – 82

• Beras Perang – 55

• Pasta – 60

• Mi – 80

• Tepung Gandum – 75

• Oat – 80

• Bijirin Jagung – 54

2. Sayur-sayuran

• Lobak merah – 50

• Asparagus – 15

• Brokoliv15

• Kacang Buncis – 30

3. Buah-buahan

• Epal – 39

• Oren – 42

• Pisang – 40

• Kismis – 64

4. Minuman/makanan ringan

• Minuman bergas – 70

• Teh tarik – 72

• Gula pasir – 70

• Madu – 87

• Jus Oren – 80

• Kacang pea – 10

• Kentang goreng – 58

 

Secara umumnya jika sesuatu makanan mempunyai GI tinggi, kita patut makan sedikit saja dan jika mempunyai GI rendah, kita perlu makan lebih banyak.

 

Wallahu a’lam