http://www.kosmo.com.my
Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Adakah ini petanda masanya sudah tiba untuk mereka mengubah tabiat pemakanan?
LELAKI dan wanita sememangnya berbeza. Bukan sahaja dari segi
gender, penampilan, perilaku dan reaksi malah, juga dari aspek
pemakanan.
Satu kajian baru yang melibatkan lebih 14,000 peserta dari 10 negeri
di Amerika mendapati, pengambilan makanan berdaging adalah lebih tinggi
di kalangan lelaki.
Kaji selidik yang berlangsung menerusi panggilan telefon ini turut
mendedahkan wanita mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan dalam
diet mereka.
Piza beku, burger beku dan makanan-makanan Mexico adalah antara
makanan pilihan kaum lelaki. Pun begitu, mereka masih cenderung
mengambil sayuran seperti asparagus, brussel, kacang pea, kacang tanah
dan pucuk-pucuk sayur.
Selain itu, lelaki juga lebih gemar mengambil makanan stik yang
tidak masak sepenuhnya, burger dan makanan bertelur. Makanan-makanan
ini biasanya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi dan berpotensi
membuatkan anda jatuh sakit.
Wanita sebaliknya lebih kerap mengambil tunas-tunas alfalfa mentah
yang pernah dikaitkan dengan keracunan makanan kira-kira 15 tahun lalu.
Keprihatinan kaum wanita terhadap kesihatan dengan mengambil makanan
yang menyihatkan turut dibuktikan dalam satu kajian baru oleh Yayasan
Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC).
Pengambilan makanan sihat bukan hanya untuk mengekalkan tahap
kesihatan secara menyeluruh malah bagi memperbaiki rasa kenyang dan
keadaan sistem pencernaan mereka.
Menurut Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Yayasan IFIC, Wendy Reinhardt
Kapsak: "Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita tentang
pandangan terhadap jenis makanan yang diambil. Memang jelas mereka
mempunyai tahap keutamaan dan keadaan berbeza yang mempengaruhi tabiat
pemakanan dan nutrisi mereka."